Make your own free website on Tripod.com

 DETIK KEMERDEKAAN MALAYSIA.

E-MERDEKA

MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Demikianlah gema kemerdekaan yang dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957 dahulu. Tidak lama lagi kita akan merayakan ulang tahun kemerdekaan yang ke-48 tahun. Usia empat puluh lapan tahun melambangkan kematangan fikiran seseorang. Namun, dalam konteks megah bahasa, adakah semua warga Malaysia benar-benar matang dari sikap cinta akan bahasa kebangsaan atau masih lagi dibayangi sikap mengagung-agungkan bahasa penjajah?

Berbagai-bagai slogan yang telah dicipta oleh pejuang-pejuang bahasa semasa mereka memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Antaranya, "Bahasa Jiwa Bangsa" dan "Bahasa Menunjukkan Bangsa". Slogan-slogan ini menunjukkan sikap cinta akan bahasa kita yang mendalam yang melambangkan jati diri bangsa.

Malahan, salah satu punca yang mendorong mereka memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada pihak British dahulu adalah atas dasar cinta akan bahasa kebangsaan. Mereka tidak mahu bahasa penjajah menjiwai jiwa anak merdeka. Salah satu punca kejayaan kita memperoleh kemerdekaan secara aman daripada pihak British juga, adalah kerana semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat berbilang kaum melalui satu bahasa perpaduan kaum, iaitu bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Antaranya ialah proses standardisasi bahasa Melayu melalui peraturan tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Oleh itu, sebagai warga merdeka yang boleh dianggap matang “dalam konteks usia kemerdekaan” haruslah sentiasa memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tidak mengamalkan bahasa rojak. Sebagai warga yang bebas dan merdeka marilah kita sama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan. Sektor korporat harus turut sama memartabatkan bahasa kebangsaan. Bahasa kita tanggungjawab kita.